Selasa, 17 Mei 2011

Perkhemahan TKRS Kebangsaan 2011

Pada 23 hingga 30 April yang lalu, telah berlangsung Perkhemahan TKRS Kebangsaan di Pusat Aktiviti Kokurikulum Juasseh, Negeri Sembilan.

Pasukan kontinjen Terengganu telah menghantar 36 orang peserta bersama dengan 4 orang pegawai pasukan untuk mewakili Terengganu dalam aktiviti tersebut.
Salah seorang daripada peserta yang terlibat ialah Sarjan Wan M. Riezlan daripada SKKJ.

Terdapat beberapa acara yang dipertandingkan dalam aktiviti perkhemahan tersebut iaitu pertandingan kawad kaki, pertandingan kraf keusahawanan, pertandingan bantu mula, dan pertandingan malam kebudayaan.

Kontinjen Terengganu telah menjadi pasukan ketiga terbaik daripada semua 16 kontinjen yang menyertai perkhemahan pada kali ini.

Ahad, 16 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah SKKJ mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pegawai KRS dan pemimpin pasukan badan beruniform di SKKJ. Semoga tuan-tuan dan puan-puan sentiasa diberkati Allah dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Jumaat, 14 Mei 2010

Perkhemahan Agung PBB

Pada 6 hingga 8 Mei yang lalu, bertempat di Taman Rimba Jaya, pihak pengurusan SK Ketengah Jaya telah melaksanakan Perkhemahan Agung Pasukan Badan Beruniform (PBB) peringkat sekolah bagi tahun 2010. Dalam perkhemahan selama 3 hari 2 malam ini, telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pertandingan khusus berkaitan dengan kurikulum PBB.

Dalam pertandingan pada tahun ini, pasukan Pandu Puteri Tunas telah berjaya menonjolkan diri sebagai pasukan terbaik, diikuti dengan pasukan Pengakap Kanak-kanak. Pasukan TKRS SKKJ hanya sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Pasukan TKRS SKKJ sangat kecewa dengan keputusan akhir ini kerana tidak berjaya menepati sasaran yang ditetapkan. Ini mungkin disebabkan beberapa perkara yang mengganggu penumpuan setiap anggota pasukan ini.

Kami berjanji dan berazam akan memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan pada masa-masa yang akan datang untuk kembali menjadi pasukan terhebat di SKKJ.

Selasa, 27 April 2010

Perkhemahan Agung PBB (2)

Sehari demi sehari, perjalanan pasukan KRS semakin mendebarkan kerana hari perkhemahan sekolah semakin hampir. Kami telah berlatih dan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan pasukan KRS SKKJ dapat menempatkan diri sebagai pasukan terbaik dalam keempat-empat pasukan PBB yang ada di SKKJ.

Semalam, kami telah masuk ke kawasan belukar kecil di belakang tapak pembinaan balai polis baru. Kami ke sana kerana menebang dan mengeluarkan kayu gelang untuk dibuat gejet. Sebahagian daripada kami pula mengadakan latihan masakan ala tentera di sekolah. Dan ada pula yang diarahkan untuk meneruskan latihan perbarisan dan kawad. Kami semua berasa sangat teruja dan sangat gembira sekarang kerana semangat untuk mencapai kemenangan sudah mula terasa. Apa lagi melihatkan pasukan-pasukan lain juga yang sibuk dan terus berlatih dengan bersungguh-sungguh membuatkan kami menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan latihan dan aktiviti yang ditetapkan oleh pegawai-pegawai KRS.

Kami berharap dapat mencapai kejayaan yang cemerlang dalam perkhemahan agung PBB SKKJ pada tahun ini. Mulai hari ini juga kami akan bergilir-gilir membuat catatan di blog ini atas bimbingan pegawai HELWA kami iaitu Lt. M. KRS Nur Ilyani. Diharap catatan ini akan memberi gambaran tentang aktiviti yang kami laksanakan nanti.

Seksyen 2 Platun 1
L/Kpl Khushairi Harun

Ahad, 11 April 2010

Perkhemahan Agung PBB

Hari ini ingin diwar-warkan bahawa SKKJ akan mengadakan Perkhemahan Agung Pasukan Badan-badan Beruniform (PBB) SKKJ tidak lama lagi. Perkhemahan yang dijangkakan akan berlangsung pada 6 hingga 8 Mei ini akan disertai oleh 4 pasukan PBB SKKJ iaitu TKRS, Pengakap, Pasukan Pandu Puteri Tunas, dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia.

Seperti acara perkhemahan pada tahun-tahun yang lalu, perkhemahan kali ini turut meletakkan beberapa acara dan pertandingan sebagai aktiviti semasa perkhemahan. Antaranya ialah pertandingan kawad kaki, masakan rimba, bantu mula, gubahan, malam kebudayaan, ikatan dan simpulan, dan satu acara baru iaitu oreintaring.

Setiap pasukan akan menghantar peserta seramai 28 orang untuk menyertai pertandingan-pertandingan ini. Kami daripada pasukan TKRS SKKJ sudah bersiap sedia untuk melaksanakan semua aktiviti. Diharap perkhemahan pada kali ini akan dapat berlangsung dengan jayanya.

Berkenaan Kursus Asas Koperal TKRS pula, mungkin aktiviti itu terpaksa ditangguhkan lagi. Ini untuk memberi ruang kepada pasukan kami membuat beberapa persediaan bagi memastikan kejayaan yang cemerlang dalam perkhemahan pada tahun ini.

Khamis, 1 April 2010

Kursus Asas Koperal (3)

Kursus Asas dan Pengujian Koperal TKRS 2010 yang dirancang akan diadakan pada hari ini sehingga 3 April telah ditangguhkan. Hal ini adalah disebabkan banyak acara sukan dan permainan di peringkat PKG yang masih berlangsung yang menyebabkan pertindihan peserta.

Kursus ini akan dirancangkan semula dan akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Harap maklum

Khamis, 25 Mac 2010

Kursus Asas Koperal (2)

Kursus Asas Koperal yang dirancang oleh Sekretariat KRS SKKJ sudah semakin hampir menjadi kenyataan. Perancangan awal, kursus ini akan dijalankan pada 1 hingga 3 April 2010. Walaupun pegawai-pegawai KRS yang ada berada dalam keadaan sibuk dengan tugasan masing-masing, namun usaha untuk melaksanakan aktiviti KRS di SKKJ masih tetap dijalankan.

Pada perancangan yang sudahpun dikenalpasti, kursus ini akan dijalankan ke atas 20 orang anggota yang layak. Pengujian yang akan dilaksanakan pula ialah dari segi ujian kawad kaki, pengucapan awam, bantu mula, tali temali, bacaan surah dari ayat lazim, dan kecergasan.

Difahamkan bahawa mesyuarat pengurusan di peringkat sekretariat nanti akan memutuskan untuk menjemput salah seorang daripada pegawai Sekretariat KRS Negeri untuk melaksanakan upacara penutup dan pemakaian pangkat. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan kerana masih menunggu kepulangan Komandan KRS SKKJ yang masih berada di UM ketika ini.

Diharap, perancangan untuk melaksanakan kursus ini akan dapat dijalankan nanti dengan jayanya...