Sabtu, 31 Oktober 2009

Kompas

Kompas adalah merupakan alat navigasi yang amat penting dalam latihan semasa berada di dalam hutan. Ia digunakan untuk mencari arah tuju bagi sesuatu lokasi berdasarkan lakaran pada peta yang telah diisytiharkan. Mengandungi jarum magnet berwarna hitam ataupun merah dan diukur dengan menggunakan darjah atau mil. Kompas adalah merupakan alatan kedua terpenting dalam sukan orientaring selepas peta.

Tujuan penggunaan peta ialah untuk pelarasan peta. Dalam aktiviti kembara atau orientaring menggunakan kompas, peta akan dilaraskan terlebih dahulu ke arah utara untuk memudahkan pengguna mengenalpasti kedudukan dan hala tuju seterusnya. Seterusnya ia digunakan untuk menentukan arah navigasi atau pergerakan dalam peta menuju ke destinasi atau titik tuju seterusnya. Kompas juga digunakan untuk menentukan ukuran jarak pada kedudukan peta supaya mudah pergerakan dijalankan.

Unit Latihan dan Aktiviti

Jumaat, 30 Oktober 2009

Kegunaan tali

Ilmu tali temali memang sangat berguna kepada kita semua. Tali merupakan alatan yang penting selepas pisau bagi aktiviti perkhemahan di hutan. Dengan adanya tali kita dapat melaksanakan beberapa perkara semasa aktiviti perkhemahan tersebut seperti mengikat binaan, memasang jerat, menetapkan ruang kawasan dan sebagainya.
Tali ialah serat halus yang dipintal atau dianyam secara memanjang dan digunakan untuk :
  1. Membuat simpulan atau ikatan asas.
  2. Melaksanakan rekreasi tali atau aktiviti yang melibatkan tali seperti abseilling, repelling, tangga tali dan sebagainya.
  3. Kerja-kerja menyelamat.
Kemahiran menggunakan tali akan dijelaskan dalam laporan yang akan datang.

Catatan Unit Latihan dan Aktiviti


Khamis, 29 Oktober 2009

Latihan Menyelamat Kebakaran

Pada 28 Oktober yang lalu (Rabu), satu demonstrasi dan latihan menyelamat kebarakan di bangunan yang terperangkap telah dijalankan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) dari Balai Bomba Kerteh.

Latihan ini dilakukan untuk menunjuk cara bagaimana operasi menyelamat dilaksanakan apabila laluan turun dari bangunan yang terbakar telah tersekat. Suatu alat yang dinamakan Safety Air Cushion dipasang dan penghuni yang terperangkap akan terjun ke atas alat itu bagi menyelamatkan diri.


Terima kasih diucapkan kepada PBPM atas demonstrasi dan latihan yang diberikan. Semoga memberi pengetahuan dan pengalaman berguna kepada kami semua.

Ahad, 25 Oktober 2009

Tatacara perkhemahan


Perkhemahan merupakan salah satu aktiviti sinonim bagi pasukan unit beruniform di sekolah. Untuk melaksanakan aktiviti perkhemahan, beberapa tatacara dan panduan perkhemahan harus dipatuhi untuk memastikan aktiviti perkhemahan dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya.

Panduan tapak perkhemahan
  1. Tapak perkhemahan haruslah rata untuk memudahkan mendirikan khemah.
  2. Terlindung daripada tiupan angin kencang. Kawasan seperti balik bukit, atau kawasan berpohon besar sesuai dijadikan tapak perkhemahan tetapi haruslah dipastikan tiada dahan reput atau batuan besar yang mungkin membahayakan.
  3. Berdekatan dengan punca air agar mudah untuk memasak, membasuh, mandi, dan mendapat bekalan air bersih yang cukup.
  4. Pandangan yang menarik supaya lebih seronok dan terhibur semasa berkhemah.
  5. Mendapat sinar cahaya matahari pagi untuk tujuan mengeringkan kelembapan bahagian dalam khemah dan pakaian yang disidai di ampaian.
  6. Berdekatan dengan trek atau laluan supaya mudah untuk bergerak meninggalkan kawasan perkhemahan jika berlaku kecemasan.
Setelah mengenal pasti kawasan perkhemahan yang sesuai, bolehlah didirikan khemah dan membina gajet-gajet penting untuk keperluan aktiviti harian. Gajet yang biasanya didirikan adalah sebagai alat atau 'perabot' untuk memastikan semua alatan yang dibawa dapat disimpan dengan kemas dan tersusun.

Daripada Unit Aktiviti dan Latihan

Jata negara

Jata Negara adalah salah satu lambang bagi negara Malaysia. Dalam jata negara ini ditunjukkan bintang berbuca 14 melambangkan 13 buah negeri dalam Malaysia dan 1 pentadbiran Wilayah Persekutuan. Bulan memberi simbol kepada agama Islam sebagai agama rasmi negara.

5 bilah keris menunjukkan terdapat 5 buah Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada suatu ketika dahulu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Johor.

Bahagian kiri jata tersebut ditunjukkan dengan gambar pokok pinang dan pokok melaka. Pokok pinang memberi erti kepada negeri Pulau Pinang dan pokok melaka memberi erti negeri Melaka. Kedua-dua negeri ini merupakan negeri Selat.

Empat jalur yang sama besar berwarna merah, hitam, putih, dan kuning ini menunjukkan warna-warna bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu iaitu Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Perak.

Tiga bahagian di penjuru perisai sebelah bawah itu ditunjukkan dengan logo bagi negeri Sabah dan Sarawak. Manakala di bahagian tengahnya ditunjukkan dengan gambar bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.

Dua ekor harimau yang mengapit perisai tersebut melambangkan semangat kesetiaan dan kekuatan untuk melindungi negara dari sebarang ancaman.

Di bahagian bawah jata tersebut dituliskan cogan kata 'Bersekutu Bertambah Mutu' dengan tulisan rumi dan tulisan jawi. Warna kuning pada datar cogan kata tersebut merujuk kepada warna raja-raja Melayu yang sentiasa ditaati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Ikrar KRS Terengganu


Bahawasanya kami
Kadet Remaja Sekolah Negeri Terengganu
Berjanji dan bersetia,
Akan menyemai semangat patriotik,
Tetap berdisiplin dan berakhlak mulia,
Berilmu, beriman, dan beramal.

Kami juga akan memupuk semangat
Keusahawanan, mencintai alam sekitar,
Mempunyai ketahanan mental dan fizikal,
Bersedia berkhidmat untuk masyarakat,
Demi agama, bangsa, dan negara,
Serta mendokong rukun agama,
Dan rukun negara sepanjang masa kami,
Menjadi Kadet Remaja Sekolah.

Ahad, 18 Oktober 2009

Pengarah KRS Negeri


Pengarah KRS Negeri Terengganu merupakan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau merupakan seorang pegawai yang sangat berdedikasi dan sentiasa komitmen dengan aktiviti KRS negeri. Perwatakan yang tegas membuatkan semua anggota KRS Negeri Terengganu sangat menyanjung tinggi dan melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik.

Walaupun sibuk dengan tugasan lain dalam pentadbiran pendidikan negeri, setiap aktiviti KRS akan dipastikan berjalan dengan lancar. Malah, beliau sanggup membatalkan aktiviti beliau yang lain semata-mata untuk turut serta dalam melaksanakan tugas sebagai Pengarah KRS Negeri, jika keadaan mengizinkan.


Diharap, pentadbiran Tn Hj Ariffin Embong dalam urusan KRS Negeri akan membangkitkan kembali kegemilangan KRS Negeri Terengganu pada tahun-tahun yang akan datang.

Pegawai Pasukan


Lt. M (KRS) Mohd Azman Musa merupakan salah seorang Pegawai Pasukan TKRS SKKJ yang sangat aktif. Beliau telah menyertai pasukan ini pada tahun 2008 dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Platun A.

Walaupun belum pernah penghadiri Kursus Asas Pegawai KRS, namun beliau banyak belajar dan mendapatkan maklumat tentang aktiviti KRS melalui pegawai-pegawai atasan dan melalui bacaan.

Lt. M (KRS Azman merupakan seorang yang sangat tegas. Bagi anggota-anggota pasukan, memang sangat menghormati beliau kerana ketegasannya itu. Setiap arahannya akan kami laksanakan dengan sebaik mungkin untuk memastikan aktiviti yang dilakukan berjalan lancar.

Semoga Lt. M. (KRS) Azman akan terus berjaya dalam setiap aktiviti kehidupan. Kami akan sentiasa bersama-sama Tuan untuk memajukan pasukan ini.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Pentauliahan Pegawai KRS Daerah

Pada 13 hingga 16 Oktober yang lalu, Pegawai Pemerintah Pasukan TKRS SK Ketengah Jaya; Lt (KRS) Idzam bin Ishak telah terpilih menghadiri Kursus Pengurusan dan Pentauliahan Sekretariat Kadet Remaja Sekolah Peringkat Negeri Terengganu. Kursus yang dijalankan selama 4 hari ini berlangsung di Pusat Kokurikulum Kuala Berang, Terengganu.

Lt. (KRS) Idzam telah mewakili Sekretariat Daerah Kemaman sebagai Ketua Jurulatih TKRS Daerah Kemaman bersama-sama dengan 10 orang lagi pegawai KRS daerah Kemaman. Beberapa siri kuliah dan latihan telah dijalankan kepada semua pegawai yang terlibat dalam kursus ini. Antaranya ialah penerangan tentang aspek pengurusan dan pentadbiran, dan latihan fizikal yang lain seperti kawad kaki, kecergasan fizikal, dan aktiviti solo camping.

Semua aktiviti yang dijalankan ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran pegawai-pegawai KRS di semua daerah di negeri Terengganu. Syabas diucapkan kepada Lt. (KRS) Idzam kerana telah berjaya melaksanakan semua aktiviti dan ujian yang dijalankan sepanjang kursus tersebut. Semoga pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi akan memantapkan lagi pentadbiran tuan dalam pasukan TKRS SKKJ dan KRS peringkat daerah.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Ejutan KRS SKKJ


Lt. M. KRS Wan Zakaria Wan Mamat

Lt. M. KRS Wan Zakaria Wan Mamat adalah merupakan pegawai latihan yang sangat cemerlang dalam pasukan kami. Beliau merupakan pegawai berjawatan Ejutan iaitu pegawai yang berperanan untuk merancang latihan dan mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pasukan. Mengisi data pasukan dan membuat perancangan tahunan aktiviti adalah merupakan tugas wajib yang sering dilaksanakan oleh beliau.
Lt. M. KRS Wan Zakaria sedang menunggu panggilan untuk menyertai kursus asas pegawai yang akan diadakan dalam cuti semester ini di Pusat Kokurikulum Kuala Berang. Diandaikan selepas menyertai kursus tersebut, pasti pegawai muda ini akan dapat melaksanakan aktiviti TKRS pasukan ini dengan lebih baik lagi.



Gambar Lt. M. KRS Wan Zakaria sedang memberi markah kepada aktiviti pengujian kenaikan pangkat lans koperal ke koperal.