Selasa, 27 April 2010

Perkhemahan Agung PBB (2)

Sehari demi sehari, perjalanan pasukan KRS semakin mendebarkan kerana hari perkhemahan sekolah semakin hampir. Kami telah berlatih dan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan pasukan KRS SKKJ dapat menempatkan diri sebagai pasukan terbaik dalam keempat-empat pasukan PBB yang ada di SKKJ.

Semalam, kami telah masuk ke kawasan belukar kecil di belakang tapak pembinaan balai polis baru. Kami ke sana kerana menebang dan mengeluarkan kayu gelang untuk dibuat gejet. Sebahagian daripada kami pula mengadakan latihan masakan ala tentera di sekolah. Dan ada pula yang diarahkan untuk meneruskan latihan perbarisan dan kawad. Kami semua berasa sangat teruja dan sangat gembira sekarang kerana semangat untuk mencapai kemenangan sudah mula terasa. Apa lagi melihatkan pasukan-pasukan lain juga yang sibuk dan terus berlatih dengan bersungguh-sungguh membuatkan kami menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan latihan dan aktiviti yang ditetapkan oleh pegawai-pegawai KRS.

Kami berharap dapat mencapai kejayaan yang cemerlang dalam perkhemahan agung PBB SKKJ pada tahun ini. Mulai hari ini juga kami akan bergilir-gilir membuat catatan di blog ini atas bimbingan pegawai HELWA kami iaitu Lt. M. KRS Nur Ilyani. Diharap catatan ini akan memberi gambaran tentang aktiviti yang kami laksanakan nanti.

Seksyen 2 Platun 1
L/Kpl Khushairi Harun

Ahad, 11 April 2010

Perkhemahan Agung PBB

Hari ini ingin diwar-warkan bahawa SKKJ akan mengadakan Perkhemahan Agung Pasukan Badan-badan Beruniform (PBB) SKKJ tidak lama lagi. Perkhemahan yang dijangkakan akan berlangsung pada 6 hingga 8 Mei ini akan disertai oleh 4 pasukan PBB SKKJ iaitu TKRS, Pengakap, Pasukan Pandu Puteri Tunas, dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia.

Seperti acara perkhemahan pada tahun-tahun yang lalu, perkhemahan kali ini turut meletakkan beberapa acara dan pertandingan sebagai aktiviti semasa perkhemahan. Antaranya ialah pertandingan kawad kaki, masakan rimba, bantu mula, gubahan, malam kebudayaan, ikatan dan simpulan, dan satu acara baru iaitu oreintaring.

Setiap pasukan akan menghantar peserta seramai 28 orang untuk menyertai pertandingan-pertandingan ini. Kami daripada pasukan TKRS SKKJ sudah bersiap sedia untuk melaksanakan semua aktiviti. Diharap perkhemahan pada kali ini akan dapat berlangsung dengan jayanya.

Berkenaan Kursus Asas Koperal TKRS pula, mungkin aktiviti itu terpaksa ditangguhkan lagi. Ini untuk memberi ruang kepada pasukan kami membuat beberapa persediaan bagi memastikan kejayaan yang cemerlang dalam perkhemahan pada tahun ini.

Khamis, 1 April 2010

Kursus Asas Koperal (3)

Kursus Asas dan Pengujian Koperal TKRS 2010 yang dirancang akan diadakan pada hari ini sehingga 3 April telah ditangguhkan. Hal ini adalah disebabkan banyak acara sukan dan permainan di peringkat PKG yang masih berlangsung yang menyebabkan pertindihan peserta.

Kursus ini akan dirancangkan semula dan akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Harap maklum