Ahad, 22 November 2009

Kontigen Kemaman


Pada 14 hingga 17 November yang lalu, terlaksanalah satu lagi aktiviti TKRS Negeri Terengganu. Program ujian dan pemilihan untuk Sarjan (Sjn) TKRS telah diadakan di Pusat Kokurikulum Kuala Berang. Dalam program tersebut, hanya 17 orang anggota yang berjaya melaksanakan semua ujian dengan baik dan cemerlang hingga melayakkan mereka mendapat pangkat Sjn TKRS.

Gambar ini adalah merupakan pasukan atau kontigen dari TKRS Kemaman. Seramai 14 orang anggota dari Kemaman telah menghadiri ujian ini. Namun hanya Sjn TKRS Nor Saharman sahaja yang berjaya mendapat pangkat Sjn TKRS. Walau bagaimanapun, kehadiran anggota yang lain sangat bermakna kerana semasa mereka melaksanakan ujian yang diberi, mereka telah menunjukkan satu ikatan persahabatan dan persaudaraan yang sangat tinggi. Walaupun mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini, namun hanya beberapa jam sahaja berjumpa, mereka sudah dapat beramah mesra.


Kepada anggota TKRS yang lain yang membaca petikan ini diharap dapat bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melaksanakan ujian kenaikan pangkat yang akan diberikan. Ujian yang diadakan ini adalah untuk menilai dan menentukan aras kebolehan, keupayaan, dan keyakinan anggota untuk dipilih menjadi pemimpin kepada anggota yang lain.

Khamis, 19 November 2009

Ujian Kenaikan Pangkat Sarjan

Ujian Kenaikan Pangkat Sarjan TKRS peringkat negeri Terengganu sudahpun berakhir pada 17 November. Majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh En. Mohd Shariff, Penyelia Pusat Kokurikulum JPN Terengganu bagi mewakili Tuan Pengarah JPN Terengganu.

Pada hari ini maka terlaksanalah satu lagi kejayaan kepada KRS Negeri Terengganu kerana telah berjaya melaksanakan aktiviti kenaikan pangkat ini kepada anggotanya. Sejak hari pertama, seramai 120 orang anggota telah melapor diri dan pada hari ini hanya 17 orang anggota sahaja yang berjaya dan lulus cemerlang untuk menerima pangkat sebagai Sarjan TKRS.

Bagi daerah Kemaman pula, seramai 14 orang telah menghadiri ujian ini dan hanya seorang sahaja yang telah berjaya mendapat pangkat Sarjan TKRS. Murid yang berjaya tersebut ialah salah seorang daripada anggota TKRS SKKJ iaitu Sjn TKRS Nor Saharman Mat Isa. Semoga kejayaan ini akan memberi semangat yang lebih tinggi kepada Sjn TKRS Saharman untuk melaksanakan tugas dalam pasukan ini.

Ahad, 15 November 2009

Pengujian Pangkat Sarjan TKRS

Pada hari ini berlangsunglah Program Pengujian dan Kenaikan Pangkat Sarjan TKRS Negeri Terengganu. Program yang diadakan di Pusat Kokurikulum Kuala Berang ini akan berlangsung selama 4 hari iaitu dari 14 hingga 17 November 2009.

Seramai 120 orang anggota dari seluruh negeri Terengganu menyertai pengujian ini. Salah seorang daripada peserta yang terlibat ialah L/Kpl Nor Saharman daripada pasukan TKRS SKKJ.

L/Kpl Nor Saharman telah berjaya menunjukkan keyakinan diri dan kepimpinan yang tinggi sejak hari pertama lagi dengan menawarkan diri menjadi ketua pasukan bagi keseluruhan peserta dalam program ini.

Pada hari ini, aktiviti yang dijalankan adalah penerangan tentang kurikulum TKRS, pecah bendungan dan aktiviti kawad kaki secara teori. Namun, pada hari esok, kehadiran semua peserta ini pasti akan teruji dengan siri-siri ujian yang bakal mereka laksanakan. Semoga semua peserta program pengujian ini akan berjaya mendapat pangkat sarjan TKRS selepas tamat program ini.

Selasa, 10 November 2009

Kembara Berbasikal TKRS

Pada hari ini, 10 November 2009, pasukan TKRS SKKJ telah melaksanakan satu lagi aktivitinya iaitu Kembara Berbasikal TKRS 2009. Seramai 25 orang anggota telah menyertai kembara ini yang bermula dari SKKJ ke Bukit Sejuk. Pasukan kami diiringi oleh anggota Polis Ketengah Jaya. Kembara ini bermula pada jam 8:30 pagi dan selamat sampai ke destinasi pada jam 9:30 pagi.

Aktiviti berkaitan kurikulum telah dilaksanakan semasa berada di sana seperti ilmu tali temali, bantu mula, dan ikhtiar hidup. Semua peserta sangat gembira dan menunjukkan semangat yang tinggi semasa melaksanakan aktiviti yang dirancang.


Selain melaksanakan aktiviti yang terkandung dalam kurikulum, kami tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda. Pakaian yang ada di badan sengaja tidak ditanggalkan kerana hendak menghilangkan bau hapak peluh semasa berkayuh dalam kembara ini tadi.

Inilah antara Pegawai Pelatih yang tidak jemu-jemu memberi sumbangan sepanjang tahun terhadap aktiviti TKRS SKKJ. Mejar (KRS) Surial Ismail, GPK Kokurikulum merangkap Timbalan Komandan KRS SKKJ juga turut hadir untuk memantau dan memberikan sokongan kepada aktiviti ini.

Pasukan kami bergerak pulang semula ke sekolah sekitar jam 11:00 pagi dan tiba di sekolah pada jam 12:15 tengah hari. Acara penyampaian hadiah kepada seksyen terbaik semasa kembara ini telah disempurnakan oleh Mejar (KRS) Hasim Ali, GPK Kurikulum merangkap Timbalan Komandan KRS SKKJ.

Semoga aktiviti ini akan memberikan pengalaman manis kepada semua peserta yang terlibat.