Ahad, 22 November 2009

Kontigen Kemaman


Pada 14 hingga 17 November yang lalu, terlaksanalah satu lagi aktiviti TKRS Negeri Terengganu. Program ujian dan pemilihan untuk Sarjan (Sjn) TKRS telah diadakan di Pusat Kokurikulum Kuala Berang. Dalam program tersebut, hanya 17 orang anggota yang berjaya melaksanakan semua ujian dengan baik dan cemerlang hingga melayakkan mereka mendapat pangkat Sjn TKRS.

Gambar ini adalah merupakan pasukan atau kontigen dari TKRS Kemaman. Seramai 14 orang anggota dari Kemaman telah menghadiri ujian ini. Namun hanya Sjn TKRS Nor Saharman sahaja yang berjaya mendapat pangkat Sjn TKRS. Walau bagaimanapun, kehadiran anggota yang lain sangat bermakna kerana semasa mereka melaksanakan ujian yang diberi, mereka telah menunjukkan satu ikatan persahabatan dan persaudaraan yang sangat tinggi. Walaupun mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini, namun hanya beberapa jam sahaja berjumpa, mereka sudah dapat beramah mesra.


Kepada anggota TKRS yang lain yang membaca petikan ini diharap dapat bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melaksanakan ujian kenaikan pangkat yang akan diberikan. Ujian yang diadakan ini adalah untuk menilai dan menentukan aras kebolehan, keupayaan, dan keyakinan anggota untuk dipilih menjadi pemimpin kepada anggota yang lain.

Khamis, 19 November 2009

Ujian Kenaikan Pangkat Sarjan

Ujian Kenaikan Pangkat Sarjan TKRS peringkat negeri Terengganu sudahpun berakhir pada 17 November. Majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh En. Mohd Shariff, Penyelia Pusat Kokurikulum JPN Terengganu bagi mewakili Tuan Pengarah JPN Terengganu.

Pada hari ini maka terlaksanalah satu lagi kejayaan kepada KRS Negeri Terengganu kerana telah berjaya melaksanakan aktiviti kenaikan pangkat ini kepada anggotanya. Sejak hari pertama, seramai 120 orang anggota telah melapor diri dan pada hari ini hanya 17 orang anggota sahaja yang berjaya dan lulus cemerlang untuk menerima pangkat sebagai Sarjan TKRS.

Bagi daerah Kemaman pula, seramai 14 orang telah menghadiri ujian ini dan hanya seorang sahaja yang telah berjaya mendapat pangkat Sarjan TKRS. Murid yang berjaya tersebut ialah salah seorang daripada anggota TKRS SKKJ iaitu Sjn TKRS Nor Saharman Mat Isa. Semoga kejayaan ini akan memberi semangat yang lebih tinggi kepada Sjn TKRS Saharman untuk melaksanakan tugas dalam pasukan ini.

Ahad, 15 November 2009

Pengujian Pangkat Sarjan TKRS

Pada hari ini berlangsunglah Program Pengujian dan Kenaikan Pangkat Sarjan TKRS Negeri Terengganu. Program yang diadakan di Pusat Kokurikulum Kuala Berang ini akan berlangsung selama 4 hari iaitu dari 14 hingga 17 November 2009.

Seramai 120 orang anggota dari seluruh negeri Terengganu menyertai pengujian ini. Salah seorang daripada peserta yang terlibat ialah L/Kpl Nor Saharman daripada pasukan TKRS SKKJ.

L/Kpl Nor Saharman telah berjaya menunjukkan keyakinan diri dan kepimpinan yang tinggi sejak hari pertama lagi dengan menawarkan diri menjadi ketua pasukan bagi keseluruhan peserta dalam program ini.

Pada hari ini, aktiviti yang dijalankan adalah penerangan tentang kurikulum TKRS, pecah bendungan dan aktiviti kawad kaki secara teori. Namun, pada hari esok, kehadiran semua peserta ini pasti akan teruji dengan siri-siri ujian yang bakal mereka laksanakan. Semoga semua peserta program pengujian ini akan berjaya mendapat pangkat sarjan TKRS selepas tamat program ini.

Selasa, 10 November 2009

Kembara Berbasikal TKRS

Pada hari ini, 10 November 2009, pasukan TKRS SKKJ telah melaksanakan satu lagi aktivitinya iaitu Kembara Berbasikal TKRS 2009. Seramai 25 orang anggota telah menyertai kembara ini yang bermula dari SKKJ ke Bukit Sejuk. Pasukan kami diiringi oleh anggota Polis Ketengah Jaya. Kembara ini bermula pada jam 8:30 pagi dan selamat sampai ke destinasi pada jam 9:30 pagi.

Aktiviti berkaitan kurikulum telah dilaksanakan semasa berada di sana seperti ilmu tali temali, bantu mula, dan ikhtiar hidup. Semua peserta sangat gembira dan menunjukkan semangat yang tinggi semasa melaksanakan aktiviti yang dirancang.


Selain melaksanakan aktiviti yang terkandung dalam kurikulum, kami tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda. Pakaian yang ada di badan sengaja tidak ditanggalkan kerana hendak menghilangkan bau hapak peluh semasa berkayuh dalam kembara ini tadi.

Inilah antara Pegawai Pelatih yang tidak jemu-jemu memberi sumbangan sepanjang tahun terhadap aktiviti TKRS SKKJ. Mejar (KRS) Surial Ismail, GPK Kokurikulum merangkap Timbalan Komandan KRS SKKJ juga turut hadir untuk memantau dan memberikan sokongan kepada aktiviti ini.

Pasukan kami bergerak pulang semula ke sekolah sekitar jam 11:00 pagi dan tiba di sekolah pada jam 12:15 tengah hari. Acara penyampaian hadiah kepada seksyen terbaik semasa kembara ini telah disempurnakan oleh Mejar (KRS) Hasim Ali, GPK Kurikulum merangkap Timbalan Komandan KRS SKKJ.

Semoga aktiviti ini akan memberikan pengalaman manis kepada semua peserta yang terlibat.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Kompas

Kompas adalah merupakan alat navigasi yang amat penting dalam latihan semasa berada di dalam hutan. Ia digunakan untuk mencari arah tuju bagi sesuatu lokasi berdasarkan lakaran pada peta yang telah diisytiharkan. Mengandungi jarum magnet berwarna hitam ataupun merah dan diukur dengan menggunakan darjah atau mil. Kompas adalah merupakan alatan kedua terpenting dalam sukan orientaring selepas peta.

Tujuan penggunaan peta ialah untuk pelarasan peta. Dalam aktiviti kembara atau orientaring menggunakan kompas, peta akan dilaraskan terlebih dahulu ke arah utara untuk memudahkan pengguna mengenalpasti kedudukan dan hala tuju seterusnya. Seterusnya ia digunakan untuk menentukan arah navigasi atau pergerakan dalam peta menuju ke destinasi atau titik tuju seterusnya. Kompas juga digunakan untuk menentukan ukuran jarak pada kedudukan peta supaya mudah pergerakan dijalankan.

Unit Latihan dan Aktiviti

Jumaat, 30 Oktober 2009

Kegunaan tali

Ilmu tali temali memang sangat berguna kepada kita semua. Tali merupakan alatan yang penting selepas pisau bagi aktiviti perkhemahan di hutan. Dengan adanya tali kita dapat melaksanakan beberapa perkara semasa aktiviti perkhemahan tersebut seperti mengikat binaan, memasang jerat, menetapkan ruang kawasan dan sebagainya.
Tali ialah serat halus yang dipintal atau dianyam secara memanjang dan digunakan untuk :
  1. Membuat simpulan atau ikatan asas.
  2. Melaksanakan rekreasi tali atau aktiviti yang melibatkan tali seperti abseilling, repelling, tangga tali dan sebagainya.
  3. Kerja-kerja menyelamat.
Kemahiran menggunakan tali akan dijelaskan dalam laporan yang akan datang.

Catatan Unit Latihan dan Aktiviti


Khamis, 29 Oktober 2009

Latihan Menyelamat Kebakaran

Pada 28 Oktober yang lalu (Rabu), satu demonstrasi dan latihan menyelamat kebarakan di bangunan yang terperangkap telah dijalankan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) dari Balai Bomba Kerteh.

Latihan ini dilakukan untuk menunjuk cara bagaimana operasi menyelamat dilaksanakan apabila laluan turun dari bangunan yang terbakar telah tersekat. Suatu alat yang dinamakan Safety Air Cushion dipasang dan penghuni yang terperangkap akan terjun ke atas alat itu bagi menyelamatkan diri.


Terima kasih diucapkan kepada PBPM atas demonstrasi dan latihan yang diberikan. Semoga memberi pengetahuan dan pengalaman berguna kepada kami semua.

Ahad, 25 Oktober 2009

Tatacara perkhemahan


Perkhemahan merupakan salah satu aktiviti sinonim bagi pasukan unit beruniform di sekolah. Untuk melaksanakan aktiviti perkhemahan, beberapa tatacara dan panduan perkhemahan harus dipatuhi untuk memastikan aktiviti perkhemahan dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya.

Panduan tapak perkhemahan
  1. Tapak perkhemahan haruslah rata untuk memudahkan mendirikan khemah.
  2. Terlindung daripada tiupan angin kencang. Kawasan seperti balik bukit, atau kawasan berpohon besar sesuai dijadikan tapak perkhemahan tetapi haruslah dipastikan tiada dahan reput atau batuan besar yang mungkin membahayakan.
  3. Berdekatan dengan punca air agar mudah untuk memasak, membasuh, mandi, dan mendapat bekalan air bersih yang cukup.
  4. Pandangan yang menarik supaya lebih seronok dan terhibur semasa berkhemah.
  5. Mendapat sinar cahaya matahari pagi untuk tujuan mengeringkan kelembapan bahagian dalam khemah dan pakaian yang disidai di ampaian.
  6. Berdekatan dengan trek atau laluan supaya mudah untuk bergerak meninggalkan kawasan perkhemahan jika berlaku kecemasan.
Setelah mengenal pasti kawasan perkhemahan yang sesuai, bolehlah didirikan khemah dan membina gajet-gajet penting untuk keperluan aktiviti harian. Gajet yang biasanya didirikan adalah sebagai alat atau 'perabot' untuk memastikan semua alatan yang dibawa dapat disimpan dengan kemas dan tersusun.

Daripada Unit Aktiviti dan Latihan

Jata negara

Jata Negara adalah salah satu lambang bagi negara Malaysia. Dalam jata negara ini ditunjukkan bintang berbuca 14 melambangkan 13 buah negeri dalam Malaysia dan 1 pentadbiran Wilayah Persekutuan. Bulan memberi simbol kepada agama Islam sebagai agama rasmi negara.

5 bilah keris menunjukkan terdapat 5 buah Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada suatu ketika dahulu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Johor.

Bahagian kiri jata tersebut ditunjukkan dengan gambar pokok pinang dan pokok melaka. Pokok pinang memberi erti kepada negeri Pulau Pinang dan pokok melaka memberi erti negeri Melaka. Kedua-dua negeri ini merupakan negeri Selat.

Empat jalur yang sama besar berwarna merah, hitam, putih, dan kuning ini menunjukkan warna-warna bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu iaitu Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Perak.

Tiga bahagian di penjuru perisai sebelah bawah itu ditunjukkan dengan logo bagi negeri Sabah dan Sarawak. Manakala di bahagian tengahnya ditunjukkan dengan gambar bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.

Dua ekor harimau yang mengapit perisai tersebut melambangkan semangat kesetiaan dan kekuatan untuk melindungi negara dari sebarang ancaman.

Di bahagian bawah jata tersebut dituliskan cogan kata 'Bersekutu Bertambah Mutu' dengan tulisan rumi dan tulisan jawi. Warna kuning pada datar cogan kata tersebut merujuk kepada warna raja-raja Melayu yang sentiasa ditaati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Ikrar KRS Terengganu


Bahawasanya kami
Kadet Remaja Sekolah Negeri Terengganu
Berjanji dan bersetia,
Akan menyemai semangat patriotik,
Tetap berdisiplin dan berakhlak mulia,
Berilmu, beriman, dan beramal.

Kami juga akan memupuk semangat
Keusahawanan, mencintai alam sekitar,
Mempunyai ketahanan mental dan fizikal,
Bersedia berkhidmat untuk masyarakat,
Demi agama, bangsa, dan negara,
Serta mendokong rukun agama,
Dan rukun negara sepanjang masa kami,
Menjadi Kadet Remaja Sekolah.

Ahad, 18 Oktober 2009

Pengarah KRS Negeri


Pengarah KRS Negeri Terengganu merupakan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau merupakan seorang pegawai yang sangat berdedikasi dan sentiasa komitmen dengan aktiviti KRS negeri. Perwatakan yang tegas membuatkan semua anggota KRS Negeri Terengganu sangat menyanjung tinggi dan melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik.

Walaupun sibuk dengan tugasan lain dalam pentadbiran pendidikan negeri, setiap aktiviti KRS akan dipastikan berjalan dengan lancar. Malah, beliau sanggup membatalkan aktiviti beliau yang lain semata-mata untuk turut serta dalam melaksanakan tugas sebagai Pengarah KRS Negeri, jika keadaan mengizinkan.


Diharap, pentadbiran Tn Hj Ariffin Embong dalam urusan KRS Negeri akan membangkitkan kembali kegemilangan KRS Negeri Terengganu pada tahun-tahun yang akan datang.

Pegawai Pasukan


Lt. M (KRS) Mohd Azman Musa merupakan salah seorang Pegawai Pasukan TKRS SKKJ yang sangat aktif. Beliau telah menyertai pasukan ini pada tahun 2008 dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Platun A.

Walaupun belum pernah penghadiri Kursus Asas Pegawai KRS, namun beliau banyak belajar dan mendapatkan maklumat tentang aktiviti KRS melalui pegawai-pegawai atasan dan melalui bacaan.

Lt. M (KRS Azman merupakan seorang yang sangat tegas. Bagi anggota-anggota pasukan, memang sangat menghormati beliau kerana ketegasannya itu. Setiap arahannya akan kami laksanakan dengan sebaik mungkin untuk memastikan aktiviti yang dilakukan berjalan lancar.

Semoga Lt. M. (KRS) Azman akan terus berjaya dalam setiap aktiviti kehidupan. Kami akan sentiasa bersama-sama Tuan untuk memajukan pasukan ini.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Pentauliahan Pegawai KRS Daerah

Pada 13 hingga 16 Oktober yang lalu, Pegawai Pemerintah Pasukan TKRS SK Ketengah Jaya; Lt (KRS) Idzam bin Ishak telah terpilih menghadiri Kursus Pengurusan dan Pentauliahan Sekretariat Kadet Remaja Sekolah Peringkat Negeri Terengganu. Kursus yang dijalankan selama 4 hari ini berlangsung di Pusat Kokurikulum Kuala Berang, Terengganu.

Lt. (KRS) Idzam telah mewakili Sekretariat Daerah Kemaman sebagai Ketua Jurulatih TKRS Daerah Kemaman bersama-sama dengan 10 orang lagi pegawai KRS daerah Kemaman. Beberapa siri kuliah dan latihan telah dijalankan kepada semua pegawai yang terlibat dalam kursus ini. Antaranya ialah penerangan tentang aspek pengurusan dan pentadbiran, dan latihan fizikal yang lain seperti kawad kaki, kecergasan fizikal, dan aktiviti solo camping.

Semua aktiviti yang dijalankan ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran pegawai-pegawai KRS di semua daerah di negeri Terengganu. Syabas diucapkan kepada Lt. (KRS) Idzam kerana telah berjaya melaksanakan semua aktiviti dan ujian yang dijalankan sepanjang kursus tersebut. Semoga pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi akan memantapkan lagi pentadbiran tuan dalam pasukan TKRS SKKJ dan KRS peringkat daerah.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Ejutan KRS SKKJ


Lt. M. KRS Wan Zakaria Wan Mamat

Lt. M. KRS Wan Zakaria Wan Mamat adalah merupakan pegawai latihan yang sangat cemerlang dalam pasukan kami. Beliau merupakan pegawai berjawatan Ejutan iaitu pegawai yang berperanan untuk merancang latihan dan mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pasukan. Mengisi data pasukan dan membuat perancangan tahunan aktiviti adalah merupakan tugas wajib yang sering dilaksanakan oleh beliau.
Lt. M. KRS Wan Zakaria sedang menunggu panggilan untuk menyertai kursus asas pegawai yang akan diadakan dalam cuti semester ini di Pusat Kokurikulum Kuala Berang. Diandaikan selepas menyertai kursus tersebut, pasti pegawai muda ini akan dapat melaksanakan aktiviti TKRS pasukan ini dengan lebih baik lagi.



Gambar Lt. M. KRS Wan Zakaria sedang memberi markah kepada aktiviti pengujian kenaikan pangkat lans koperal ke koperal.

Isnin, 28 September 2009

Ilmu, Iman, dan Amal

Ilmu, Iman, dan Amal adalah merupakan cogan kata dan prinsip bagi pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah mahupun bagi pasukan Kadet Remaja Sekolah.

Cogan kata ini memberikan pengertian yang sangat mendalam untuk dihayati oleh setiap anggota KRS. Melalui cogan kata ini, setiap anggota dituntut untuk memperolehi ilmu dalam kehidupan. Ilmu yang dipelajari dan diperolehi itu haruslah disertai dengan keimanan dan keyakinan yang sangat mendalam kepada Allah Taala. Seterusnya dengan ilmu dan keimanan itu haruslah kita beramal dengannya.

Kami ingin memberikan satu contoh tentang perkaitan ilmu, iman, dan amal ini. Dalam kehidupan kita, sangat dituntut untuk mempelajari tentang ilmu penulisan. Dengan ilmu dan kemahiran menulis ini, kita akan dapat menghargai dan menghayati keindahan dan keagungan Allah yang telah menciptakan setiap sesuatu dalam kehidupan, contohnya alatan untuk menulis, perkataan dan sebutan yang lahir daripada kehidupan manusia yang ditentukan olehNya, dan melalui penulisan juga seseorang itu dapat menunjuk dan menulis tentang keagungan Allah untuk dibaca dan ditatap oleh manusia lain. Seterusnya kita beramal pula dengan ilmu penulisan itu untuk menulis dan menyampaikan ilmu kepada orang lain.

Oleh itu budaya ilmu, iman, dan amal ini perlulah kita laksanakan dalam kehidupan. Terutamanya bagi anggota KRS yang sentiasa berpegang kepada prinsip ini dalam melaksanakan setiap aktiviti KRS. Semoga dengan cogan kata ini, kita dapat memupuk satu sikap yang bertambah baik di kalangan setiap anggota pada setiap pelaksanaan harian.

Ahad, 27 September 2009

Ketua Pemerintah


Lt. Idzam b. Ishak telah memimpin Pasukan TKRS SKKJ semenjak tahun 2006, seawal penubuhan pasukan ini di sekolah ini. Telah mendapat latihan sebagai pegawai latihan pertama kalinya pada tahun 2005 di Kem Bukit Sagu, Kuantan Pahang.

Kemudian melanjutkan kursus pegawai di Pusat Kokurikulum Kuala Berang, Terengganu sebelum dilantik menjadi pegawai latihan penuh berpangkat Leftenan. Mula berkhidmat sebagai Pegawai Pemerintah Pasukan TKRS di SK Kuala Kenong, Kuala Lipis pada tahun 2005, dan SKKJ merupakan pasukan TKRS kedua yang dipimpinnya.

Pada tahun 2009, beliau dilantik menjadi Ketua Jurulatih TKRS Daerah Kemaman di bawah Sekretariat KRS Daerah. Lt. Idzam juga telah memberi sumbangan sebagai hakim Pertandingan Kawad Kaki Daerah Kemaman pada Mac 2009 yang lalu.
Sebagai Pegawai Pemerintah Pasukan TKRS SKKJ, beliau dan pegawai-pegawai latih yang lain telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan aktiviti TKRS SKKJ dengan sebaik mungkin sepanjang tahun ini. Terima kasih diucapkan...



Senarai nama pegawai.

  1. Ketua Komandan SKKJ = Lt. Kolonel TKRS Shamsiah Abd. Razak
  2. Timbalan Komandan = Mejar KRS Hasim b. Ali
  3. Penolong Komandan = Mejar KRS Surial bt. Ismail
  4. Penolong Komandan = Mejar KRS Adnan b. Ali
  5. Pegawai Pemerintah = Lt. KRS Idzam b. Ishak
  6. Ejutan = Lt. M. KRS Wan Zakaria b. Wan Mamat
  7. Pegawai Platun 1 = Lt. M. KRS Mohd Azman Musa
  8. Pegawai Platun 2 = Lt. M. KRS Mohd Khairuddin b. Yusof
  9. Pegawai Logistik = Lt. M. KRS Nur Ilyani bt Mohamad
  10. Pegawai Pentadbiran = Lt. M. KRS Mohd Azmi b. Senik
  11. Pegawai Pentadbiran = Lt. M. KRS Mohd Zunaidi b. Musa
  12. Pegawai Pentadbiran = Lt. M. KRS Wadhlul Wahid b. Abdullah
  13. Pegawai Pentadbiran = Lt. M. KRS Juwairiah@Kamezan bt Mohamad

Pegawai Pasukan


Lt. Kolonel (TKRS) Shamsiah Abd. Razak
Komandan TKRS SKKJ

Ketua Pasukan TKRS SK Ketengah Jaya bermula pada tahun 2009; Lt. Kolonel TKRS Shamsiah bt Abd. Razak. Mula bertugas sebagai Ketua Komandan Pasukan TKRS SKKJ setelah bertugas sebagai Guru Besar SK Ketengah Jaya.
Sekarang beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam Pengijazahan Khas Guru Besar pada tahun pertama. Walaupun sibuk dengan tugasan pembelajaran, beliau sentiasa mengutamakan kebajikan dan pelaksanaan aktiviti TKRS di SKKJ.
Diharap pimpinan dan kebijaksanaan Ketua Komandan yang baru ini, pasukan ini akan menjadi lebih cemerlang dan berjaya pada tahun-tahun yang akan datang.

Salam pembukaan



Assalamualaikum
Salam pembukaan, salam perkenalan daripada Pasukan TKRS SKKJ Daerah Kemaman.

Tujuan blog ringkas ini diperkenalkan adalah untuk memaparkan aktiviti-aktiviti KRS yang berlaku sepanjang tahun yang kami sertai. Blog ini akan cuba dikemas kini dari masa ke masa dengan bantuan daripada pegawai-pegawai latih pasukan ini.

Diharap, jika ada masalah atau komen dan cadangan yang dapat membina penambahbaikan dalam melaporkan aktiviti kami, sila emailkan cadangan anda kepada krs_skkj@yahoo.com.my

Sekian terima kasih.